Tuesday 15 October 2013

Ekonomi Malaysia ke arah pertumbuhan lebih baik




KUALA LUMPUR 13 Okt. - Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ekonomi Malaysia berjalan lancar untuk mencapai pertumbuhan 4.5 peratus kepada lima peratus tahun ini dengan permintaan domestik yang berterusan dan eksport yang semakin pulih, dan meramalkan pertumbuhan yang lebih tinggi pada 2014.
''Kami melihat angka terbaharu untuk eksport telah beralih ke arah positif jadi jika trend ini berterusan, ia akan berada pada paras atas ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar 2013 yang dikeluarkan pada Ogos,'' kata Zeti dalam satu wawancara dengan Bloomberg di Washington, pada Sabtu.
Beliau berkata, beliau menjangka pertumbuhan ekonomi tahun depan akan lebih baik daripada 2013.
Menurut Bloomberg, Malaysia, ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara, telah mencatatkan pertumbuhan purata enam peratus sepanjang tiga tahun sehingga 2012, didorong permintaan dan pelaburan domestik.
"Sektor domestik kukuh dan telah menjadi teras untuk memacu pertumbuhan kami pada tempoh yang lebih mencabar ini.
''Pada 2013, dagangan global merosot dengan ketara, dan ini tentunya menjejaskan kami kerana keterbukaan ekonomi kami. Tetapi jika kami tidak mengimbangkan kembali ekonomi kami, kami hanya akan mencatatkan pertumbuhan satu hingga dua peratus,'' kata Zeti.
Malaysia menurunkan ramalan pertumbuhannya tahun ini kepada antara 4.5 peratus hingga lima peratus pada Ogos, daripada anggaran awal setinggi enam peratus.
Bank pusat itu mengekalkan kadar faedah pada tiga peratus dalam mesyuarat kali ke-14 berturut-turut pada 5 September untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
Zeti berkata, sepanjang enam bulan hingga satu tahun ini, beliau lebih menumpukan kepada pertumbuhan berbanding inflasi, kerana pertumbuhan global akan kekal lemah manakala inflasi adalah stabil.